Thursday, November 13, 2008

Berapa MP Kamera Korang???!!


UMUM mengetahui megapiksel merupakan salah satu faktor penting yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli sebuah kamera digital. Namun hari ini, ia mungkin tidak lagi relevan.

Mungkin kenyataan ini agak mengelirukan kerana selama ini kebanyakan orang menganggap ia merupakan kriteria utama yang perlu diberi perhatian kerana ia merupakan penunjuk kemampuan menghasilkan gambar berkualiti sesebuah kamera digital. Benarkah megapiksel tidak lagi relevan pada hari ini? Teruskan membaca!

Megapiksel merupakan unit ukuran yang menentukan berapa banyak piksel atau elemen gambar yang boleh dimuatkan ke dalam sensor sesebuah kamera. Satu megapiksel bersamaan dengan 1 juta piksel.

Tahukah anda bahawa anda hanya memerlukan kamera dengan tiga megapiksel untuk mencetak gambar berukuran standard 4R? Untuk mencetak gambar bersaiz 8R pula, anda hanya memerlukan sebanyak 8 megapiksel. Sekiranya kamera anda mempunyai megapiksel yang tidak mencukupi dan anda cuba untuk mencetak gambar berukuran besar, kualiti cetakannya tidak akan menarik iaitu gambar akan kelihatan sedikit kabur.

Industri fotografi digital hari ini yang memperlihatkan persaingan hebat di antara pengeluar kamera gergasi telah menyebabkan peningkatan megapiksel pada kamera kompak dan tidak lagi hanya tertumpu pada kamera prosumer mahupun DSLR.

Kebanyakan kamera kompak hari ini mempunyai sekurang-kurangnya 8-Megapiksel. Dalam persaingan digital ini, Canon telah memperkenalkan produk 'cili padi' mereka yang mencecah 14.7 megapiksel, sesuatu yang tidak pernah terlintas di kotak fikiran kita lima tahun yang lalu!.

Oleh itu, apabila memilih kamera kompak yang mana untuk dimiliki, megapiksel bukanlah sesuatu yang perlu terlalu dititikberatkan. Apa yang perlu diberikan keutamaan hari ini ialah saiz sensor sesebuah kamera. Semakin besar sensor sesebuah kamera itu, semakin baik kualiti gambar yang mampu dihasilkan.

Semakin besar sensor bermakna semakin banyak cahaya dan semakin banyak cahaya dapat diambil oleh sesebuah kamera, semakin baik warna dan kontrasnya. Dengan sensor bersaiz besar, gambar yang diambil di dalam bangunan tanpa lampu limpah (flash) akan kelihatan lebih berkualiti berbanding kamera yang mempunyai sensor yang lebih kecil.

Malangnya, kamera kompak tidak mampu memuatkan sensor yang besar kerana ia perlu kekal kecil, padat dan mudah dibawa. Saiz sensor pada kamera kompak boleh menjadi lebih kecil daripada kuku jari kelingking manusia.

Ini adalah penyebab utama mengapa kamera kompak sukar menghasilkan gambar yang berkualiti dalam keadaan yang kurang cahaya tanpa penggunaan flash. Bagi mengetahui saiz sensor sesebuah kamera, anda boleh memeriksa butiran pada manual kamera. Ia lazimnya dirujuk sebagai CMOS, CCD, elemen pengimejan atau sensor imej, tetapi tidak boleh lari dengan bacaan ukuran seperti 1/2.7 inci, yang merujuk kepada saiz sensornya.

Sebagai perbandingan, kamera Digital SLR profesional mempunyai sensor yang besarnya sehingga 30 kali ganda berbanding kamera kompak. Tidak hairanlah saiznya juga jauh lebih besar berbanding kamera biasa.

Ironinya, kaedah penyelesaian bagi mempertingkatkan kualiti foto pada kamera kompak ialah dengan cara mengurangkan bilangan megapikselnya. Dengan bilangan megapiksel yang kurang bermakna setiap piksel di dalam sensor kini boleh mendapat lebih cahaya sekali gus meningkatkan kualiti gambar.

Namun ini tidak bererti industri kamera digital akan menghentikan perlumbaan megapiksel ini. Seperti mana pengguna menilai prestasi sesebuah komputer berdasarkan Gigahertz (GHz), membandingkan megapiksel merupakan kaedah termudah untuk si penjual membandingkan kemampuan kamera mereka dengan kamera pengeluar lain.

Untuk menyedarkan pengguna akan kenyataan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan usaha, masa dan wang ringgit. Hakikatnya, inilah kebenaran di sebalik mitos megapiksel.

0 comments: